Perubahan struktur sosio-ekonomi telah menimbulkan beberapa cabaran dalam pengeluaran makanan khususnya pergantungan kepada pekerja asing, tanah sesuai yang terhad, kos yang meningkat dan persaingan sengit akibat liberalisasi perdagangan. Jaminan bekalan makanan dijangka terus meruncing kesan daripada perubahan iklim, faktor pengeluaran yang terhad dan kenaikan harga input serta persaingan bahan makanan untuk pengeluaran bio-tenaga. Keadaan akan bertambah rumit dan mencabar dengan permintaan bahan makanan yang kian meningkat akibat daripada pertambahan penduduk dan pendapatan serta perubahan citarasa pengguna. Sektor pertanian negara juga menghadapi isu produktiviti yang rendah. Salah satu punca isu ini adalah kerana kurangnya penerimagunaan dan amalan teknologi terkini dan amalan pertanian yang tidak komersil. Pemindahan teknologi kepada pengusaha pertanian (tanaman, akuakultur, ternakan dan industri asas tani) dapat diterapkan dengan lebih efektif melalui khidmat nasihat, rundingan dan showcasing.
Klinik Pertanian Putra merupakan satu program jalinan masyarakat melalui khidmat nasihat, rundingan dan showcasing untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pengusaha pertanian. Ia dilaksanakan kepada kumpulan sasar di sesuatu kawasan yang terpilih supaya pemindahan teknologi dan inovasi dapat diterapkan dengan berkesan dengan mengambil kira isu, cabaran dan masalah setempat. Program ini juga melibatkan agensi pertanian yang bersama-sama menjayakan program ini berdasarkan permasalahan yang dihadapi oleh golongan sasar. Antara objektif program adalah menggerakkan sumber fizikal dan kepakaran intelektual di universiti berkenaan kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti dan projek yang sering dijalankan. Memberi latihan dan tujuk ajar dalam pemindahan ilmu teknologi dan keusahawanan kepada masyarakat bagi memingkatkan produktiviti, kecekapan dan pendapatan mereka serta menjalinkan kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan, industri dan komuniti dalam usaha untuk memperkasakan masyarakat berteraskan model "quadruple helix".
Date of Input: 22/07/2022 | Updated: 22/07/2022 | k_mhafis
University Community Transformation Centre (UCTC UPM), Industry and Community Relations Building, Universiti Putra Malaysia, 43400 UPM Serdang Selangor Darul Ehsan