Penggunaan Racun Tinggi Dedah Risiko Kesihatan | University Community Transformation Centre (UCTC)
» NEWS » Penggunaan racun tinggi dedah risiko kesihatan

Penggunaan racun tinggi dedah risiko kesihatan

KUALA LUMPUR: Penggunaan racun yang tinggi pada bahan makanan termasuk sayur-sayuran boleh memberi kesan kesihatan jangka panjang kepada pengguna termasuk kanser, sakit kulit kronik, gangguan sistem badan dan keracunan dalam darah.

Bagaimanapun, Pakar di Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Norsida Man, berkata tahap kesedaran pengguna berkaitan produk makanan menggunakan racun kimia secara berlebihan masih rendah.

Beliau berkata, ia diburukkan lagi dengan kesempitan hidup yang dibelenggu oleh kos sara hidup tinggi sehingga membuatkan pengguna lebih memikirkan kuantiti yang mereka terima dengan harga rendah.

"Sebenarnya pengguna masih kurang arif untuk menilai sesuatu produk makanan sama ada ia selamat atau tidak daripada pencemaran racun kimia.

"Jika kesedaran pengguna tinggi sekalipun terhadap produk pertanian yang selamat dimakan, tetapi jika mereka masih tiada akses mendapatkan produk itu, mereka ini juga tidak dapat lari daripada isu ini.

"Ini kerana kebanyakan sayuran yang dihasilkan secara organik dan menggunakan kurang racun kimia dijual agak mahal dan premium. Berbanding kualiti dan kuantiti, pengguna akan memilih kuantiti," katanya kepada BH, semalam.

Prof Dr Norsida Man.

Sebelum ini, BH melaporkan ladang diusahakan secara haram oleh warga asing dan tidak dipantau berisiko membahayakan kesihatan berikutan salah guna racun makhluk perosak (RMP).

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi, berkata tindakan sedemikian serta lain-lain salah laku susulan kegiatan warga asing yang tidak dipantau akan menyebabkan pengeluaran hasil tanaman yang tidak selamat untuk dimakan.

Beliau berkata, ladang atau kebun sayur haram diusahakan warga asing tidak dipantau Jabatan Pertanian terutama dari segi pematuhan Amalan Pertanian Baik (APB) dalam aktiviti pertanian diusahakan.

Sementara itu, Dr Norsida berkata, pemantauan dan penguatkuasaan tidak boleh dilakukan oleh satu pihak saja, sebaliknya perlu mendapat sokongan daripada pihak lain.

"Untuk isu ini, pemantauan dan penguatkuasaan tidak boleh hanya dilakukan Jabatan Pertanian semata-mata. Memang dari segi penggunaan racun perosak kimia dan APB adalah bidang kuasa Jabatan Pertanian, tetapi penggunaan tanah secara haram adalah masalah yang perlu dipertanggungjawabkan kepada pihak berwajib lain.

"Kekurangan kapasiti sumber untuk melaksanakan pemantauan kepada ladang berdaftar menjadi halangan kepada Jabatan Pertanian, apatah lagi untuk melaksanakan pemantauan ke atas ladang diusahakan secara haram, perkara ini akan terus memberi beban kepada mereka.

"Oleh itu, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik supaya isu ini tidak menjadi masalah lebih rumit," katanya.

Date of Input: 25/03/2024 | Updated: 25/03/2024 | khairulazman

MEDIA SHARING

University Community Transformation Centre (UCTC)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 1805/ 1806
03-8946 4107/ 4114
SXEbNAk~